Peristiwa Tahun Gajah…

Pada setiap tahun, apabila tiba 'musim haji', beribu-ribu umat Islam pergi ke Tanah Suci Mekah untuk menunaikan ibadat haji. Salah satu rukun yang terdapat dalam fardu haji ialah tawaf atau mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh kali.

Kaabah yang terletak Kota Mekah digelarkan sebagai Rumah Allah (Baitullah). Hal ini demikian kerana pada suatu masa dahulu, Allah S.W.T. telah memerintahkan Nabi Ibrahim a.s. supaya membina Kaabah. Nabi Ibrahim a.s. dengan bantuan puteranya, Nabi Ismail a.s. lalu membina Kaabah tersebut. Sejak itulah Kaabah menjadi tempat untuk melakukan ibadat tawaf.

Namun, sesudah Nabi Ibrahim a.s. wafat, ajaran yang disampaikan oleh Nabi Ibrahim a.s. supaya menyembah dan mengesakan Allah S.W.T., lama-kelamaan diabaikan oleh kebanyakan manusia.

Mereka kembali menyembah patung-patung berhala, pokok, haiwan, matahari, dan lain-lain lagi. Bahkan, di dalam Kaabah, mereka turut meletakkan berbagai-bagai jenis berhala untuk disembah. Mereka hidup dalam kesesatan dan kejahilan yang nyata.

Namun demikian, Kaabah masih tetap dikunjungi oleh orang ramai yang datang dari merata-rata tempat. Oleh yang demikian, Kota Mekah menjadi sangat masyhur dan maju kerana di kota itu terdapat Kaabah.

Di negeri Yaman pula, terdapat seorang pemerintah bernama Abrahah. Dia berasa sangat iri hati kerana Kota Mekah menjadi begitu masyhur dan maju. Dia mahu negerinya menjadi lebih masyhur dan maju daripada Kota Mekah.

Oleh itu, Abrahah lalu memerintahkan rakyatnya supaya mendirikan sebuah Kaabah untuk menandingi Kaabah yang terdapat di Kota Mekah. Bahkan, 'Kaabah Yaman' jauh lebih cantik daripada Kaabah di Kota Mekah itu. Malah, di dalam 'Kaabah Yaman', terdapat pelbagai peralatan dan barangan yang sangat mahal harganya.

Namun demikian, Abrahah berasa sangat kecewa. Tidak ramai orang datang untuk melakukan ibadat di 'Kaabah Yaman'. Malah, rakyat di negerinya sendiri pun lebih suka mengunjungi Kaabah di Kota Mekah. Marahlah Abrahah bukan kepalang.

'Kaabah Yaman' itu bukan sahaja tidak dikunjungi ramai, malah turut dirosakkan dan dikotorkan dengan najis oleh orang yang berpura-pura mengunjunginya. Malah, banyak pula peralatan dan barangan yang mahal di dalamnya telah dicuri orang. Oleh yang demikian, kemarahan Abrahah tidak dapat dibendung lagi.

Akhirnya, Abrahah mengambil keputusan untuk menyerang Kota Mekah. Tujuannya ialah ingin meruntuhkan Kaabah yang terletak di Kota Mekah itu. Dia percaya, sekiranya Kaabah di Kota Mekah itu berjaya diruntuhkan, tentulah orang ramai akan datang mengunjungi 'Kaabah Yaman' pula.

Tanpa berlengah lagi, Abrahah terus mengumpulkan angkatan tenteranya. Bahkan, angkatan tenteranya sangat luar biasa kerana turut disertakan dengan kumpulan gajah. Oleh yang demikian, angkatan tentera Abrahah ini terkenal dengan sebutan angkatan tentera bergajah.

Abrahah sangat yakin bahawa cita-citanya untuk meruntuhkan Kaabah di Kota Mekah itu akan berjaya. Jumlah tenteranya sangat ramai. Tambahan pula, angkatan perangnya mempunyai barisan gajah yang perkasa. Tentulah tiada siapa pun berani melawan angkatan tenteranya.

Abrahah lalu memimpin angkatan tenteranya menuju ke Kota Mekah. Di segenap tempat yang dilalui oleh angkatan tenteranya, orang ramai bertempiaran melarikan diri. Tiada siapa berani menghalang kemaraan angkatan tenteranya.

Oleh yang demikian, hebohlah berita di kalangan penduduk Tanah Arab mengenai kedatangan angkatan tentera Abrahah. Malah, berita itu akhirnya sampai ke pengetahuan penduduk Kota Mekah. Mereka berasa sangat cemas. Mereka sudah tentulah tidak berdaya untuk mengalahkan angkatan tentera Abrahah. Lebih-lebih lagi kerana angkatan tentera Abrahah turut mempunyai barisan gajah yang perkasa.

Abdul Mutalib, iaitu datuk kepada Nabi Muhammad S.A.W., yang menjadi pemimpin di Kota Mekah turut mengetahui berita itu. Beliau berasa sangat dukacita kerana Abrahah mahu melanggar Kota Mekah dan meruntuhkan Kaabah. Beliau tahu, sekalian penduduk Kota Mekah tidak akan berupaya menghalang cita-cita jahat Abrahah itu.

Tanpa membuang masa lagi, Abdul Mutalib lalu segera mengarahkan penduduk Kota Mekah supaya menyelamatkan diri masing-masing. "Wahai penduduk Kota Mekah! Selamatkan diri kamu semua. Pergilah kamu semua berlindung di atas bukit," seru Abdul Mutalib kepada para penduduk Kota Mekah.

Penduduk kota Mekah bergegas keluar dari Kota Mekah. Mereka patuh pada arahan Abdul Mutalib. Mereka pergi ke bukit-bukau yang terletak di tepi Kota Mekah. Mereka cuba mencari perlindungan di atas bukit-bukau itu.

Akhirnya, Abrahah dan angkatan tenteranya tiba di suatu tempat berhampiran Kota Mekah. Mereka tidak terus memasuki Kota Mekah. Mereka berehat di tempat itu. Abrahah sangat gembira apabila mengetahui penduduk Kota Mekah sudah lari mencari perlindungan.

Ha! Ha! Ha! Abrahah ketawa berdekah-dekah. Dia sangat sangat gembira. "Mereka semua adalah penakut!" ujar Abrahah. Dia membayangkan kemenangan sudah berada di dalam genggaman tangannya. Tiada siapa akan menentangnya.

Abrahah mengetahui pemimpin Kota Mekah itu, Abdul Mutalib, juga sudah lari berlindung di atas bukit. "Sungguh tidak kusangka, pemimpin kaum Quraisy yang sangat masyhur itu rupa-rupanya sangat penakut!" ujar Abrahah.

Abrahah ingin mengambil kesempatan untuk menghina Abdul Mutalib. Dia lalu memerintahkan beberapa orang tenteranya pergi mengambil dua ratus ekor unta milik Abdul Mutalib.

Berita Abrahah merampas dua ratus ekor unta itu sampai kepada pengetahuan Abdul Mutalib. Oleh yang demikian, tanpa berlengah lagi, Abdul Mutalib bergegas pergi berjumpa Abrahah.

Pada mulanya, beberapa orang sahabat Abdul Mutalib melarang beliau pergi menemui Abrahah.

"Janganlah, tuan hamba pergi, wahai Abdul Mutalib! Abrahah itu tersangat zalim. Nanti, tuan hamba akan dibunuhnya," kata mereka.

Namun, Abdul Mutalib sedikit pun tidak berasa gentar. Dengan penuh berani, beliau pergi juga menemui Abrahah.

Abrahah turut berasa terkejut apabila diberitahu oleh para pembesarnya bahawa Abdul Mutalib datang ingin berjumpa dengannya. Dia sama sekali tidak menyangka pemimpin kaum Quraisy itu rupa-rupanya sungguh berani.

"Wahai Abdul Mutalib! Sungguh berani engkau datang menemuiku. Jikalau kupancung lehermu, engkau akan mati di sini," Abrahah berkata dengan suara yang kasar.

Namun, Abdul Mutalib dengan tegas menjawab, "Aku tidak takut!"

Tercenganglah Abrahah mendengar jawapan itu. Oleh itu, Abrahah ingin tahu maksud sebenar Abdul Mutalib datang menemuinya. Dia menyangka pemimpin kaum Quraisy itu tentulah ingin berdamai dengannya.

"Beritahu kepadaku, apakah tujuan sebenar kedatanganmu?" Abrahah menyoal.

"Aku mahu engkau mengembalikan semula semua untaku yang telah engkau rampas itu," tegas Abdul Mutalib.

Mendengar jawapan itu, Abrahah ketawa berdekah-dekah.

"Sungguh tidak kusangka. Aku fikir engkau datang ingin berdamai denganku supaya tidak meruntuhkan Kaabah. Tetapi rupa-rupanya engkau mahukan unta itu sahaja," ujar Abrahah sambil terus ketawa.

"Unta itu adalah kepunyaanku!" tegas Abdul Mutalib lagi.

"Jikalau begitu, Kaabah itu kepunyaan siapa pula?" Abrahah cuba menyindir Abdul Mutalib.

Abdul Mutalib segera menjawab, "Kaabah itu bukan kepunyaanku."

Sekali lagi Abrahah tercengang mendengar jawapan Abdul Mutalib.

"Kalau begitu, Kaabah itu kepunyaan siapa?" Abrahah benar-benar ingin mendengar penjelasan daripada Abdul Mutalib.

"Kaabah itu kepunyaan Allah. Itu adalah rumah Allah (Baitullah). Bukan kepunyaan aku. Allah sendiri yang akan menjaga Rumah-Nya (Kaabah) itu. Bukan aku!" tegas Abdul Mutalib lagi.

Termenunglah Abrahah seketika setelah mendengar kata-kata Abdul Mutalib. Namun, Abrahah tidak percaya kepada kata-kata Abdul Mutalib itu. Dia tetap ingin meneruskan hasratnya ingin memusnahkan Kaabah.

Abdul Mutalib lalu mengambil semua unta kepunyaannya dan terus pulang.

Keesokkan harinya, Abrahah segera memimpin angkatan tenteranya memasuki Kota Mekah. Penduduk Kota Mekah yang sedang berlindung di atas bukit-bukau menangis kerana menyangka Kaabah tentulah akan dimusnahkan oleh gajah-gajah perkasa.

Namun, suatu peristiwa ganjil berlaku. Semua gajah itu enggan melangkah untuk meruntuhkan Kaabah. Gajah-gajah itu bertempik dan memalingkan muka dari Kaabah. Gajah-gajah itu enggan bergerak untuk memusnahkan Kaabah.

Walaupun dipaksa dan dipukul dengan kuat, gajah-gajah itu tetap enggan melangkah ke arah Kaabah. Malah, sesetengah gajah itu sudah melarikan diri.

Kemudian, dengan tidak semena-mena, langit menjadi hitam. Rupa-rupanya ratusan burung sedang berterbangan. Burung-burung itu ialah burung Ababil yang diutuskan oleh Allah S.W.T. untuk menyelamatkan Kaabah.

Burung-burung Ababil itu membawa batu-batu kecil dari Neraka. Batu-batu itu dilemparkan ke atas angkatan tentera Abrahah. Bertempiaranlah tentera Abrahah cuba melarikan diri masing-masing. Namun, tiada seorang pun daripada angkatan tentera Abrahah itu terselamat daripada serangan burung Ababil.

Mereka mati di situ dalam keadaan hina dan sangat mengerikan. Mayat mereka menjadi seperti daun-daun yang dimakan oleh ulat.

Demikianlah, sesungguhnya Allah S.W.T. Maha Berkuasa. Allah S.W.T. telah menyelamatkan Kaabah daripada dimusnahkan. Peristiwa luar biasa itu disaksikan oleh para penduduk Kota Mekah dengan perasaan takjub. Mereka tidak menyangka Allah S.W.T. akan mengutuskan burung Ababil yang membawa batu dari Neraka untuk menyelamatkan kesucian Kaabah.

Peristiwa ajaib ini ada disebutkan di dalam Al-Quran. Dalam Surah Al-Fil: Ayat 1-5, Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud:

"Apakah kamu tidak memperhatikan bagaimana Tuhanmu telah bertindak terhadap tentera bergajah?. Bukankah Dia telah menjadikan tipu daya mereka untuk menghancurkan Ka'abah itu sia-sia? Dan Dia mengirimkan kepada mereka burung yang berbondong-bondong. Yang melempari mereka dengan batu berasal dari tanah yang terbakar. Lalu Dia menjadikan mereka seperti daun-daunan yang dimakan ulat."

Sesetengah riwayat pula mengatakan, Abrahah berjaya melarikan diri. Dia pulang ke negerinya dengan sangat ketakutan.

Namun, ketika Abrahah sampai di istananya, tiba-tiba dia melihat ada seekor burung Ababil sedang bertenggek di jendela istananya itu. Burung Ababil sedang menunggunya di situ. Tahulah Abrahah bahawa rupa-rupanya dia tidak terlepas daripada balasan azab oleh Allah S.W.T.

Abrahah cuba melarikan diri. Namun, sia-sia sahaja. Matilah dia akibat terkena batu dari Neraka yang dilontarkan oleh burung Ababil itu. Dia mati dalam keadaan tersangat hina dan sungguh mengerikan di dalam istananya sendiri.

Tahun berlakunya peristiwa ajaib ini dikenali sebagai 'Tahun Gajah'.

Dalam tahun inilah Junjungan Besar Kita, Nabi Muhammad S.A.W. diputerakan. Baginda dilahirkan pada hari Isnin, 12 Rabiul Awal (bersamaan 20 April 571 Masihi). Baginda dipilih oleh Allah S.W.T. menjadi rasul yang terakhir diutuskan oleh Allah S.W.T., yakni sebagai penyudah dan pelengkap bagi sekalian rasul
0 Responses

Post a Comment

  • About Me

    My photo
    بسم الله الرحمن الرحيم.. SALAM 1PERJUANGAN, 1AQIDAH,1UKHUWAH...:)

    sembang ukhuwah..

    Followers

    KOMENTAR..

    SeKoLaH KesaYanganku

    SeKoLaH KesaYanganku

    APIUM TerCinta..

    APIUM TerCinta..

    My UniVersiTy..

    My UniVersiTy..

    BiCaRa HaTi....

    Tiada ukhuwwah tanpa iman, dan tiada keimanan yang sempurna tanpa ukhuwwah, sepertimana tidak ada persahabatan tanpa taqwa, dan tiada ketaqwaan tanpa persahabatan.

    My music..